Zakat.

Sultan Selangor perjelas isu zakat

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa kutipan zakat di Selangor adalah khusus diagihkan untuk lapan golongan penerima asnaf termasuk asnaf fakir, miskin, mualaf dalam kalangan umat Islam sahaja.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, baginda bertitah, walaupun agama Islam adalah agama yang menekankan sifat perikemanusiaan tetapi agihan zakat hendaklah diberikan kepada lapan golongan asnaf daripada kalangan umat Islam terutama yang miskin dan memerlukan bantuan terlebih dahulu.

Berikut adalah kenyataan akhbar Sultan Sharafuddin yang ditandatangani Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani:

Saya telah dititah oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk mengeluarkan kenyataan ini susulan laporan akhbar yang tular di media sosial baru-baru ini yang memetik kenyataan dua orang mufti dan seorang ahli politik yang menyentuh tentang agihan wang kutipan zakat kepada orang bukan Islam di negara ini.

Seperti yang kita sedia maklum tanggungjawab membayar zakat adalah merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam.

Berkaitan dengan isu agihan zakat ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah mendapat nasihat daripada Sahibus Samahah Dato’ Mufti Selangor bahawa agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan hanya sekiranya ianya menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam di bawah asnaf Mu’allafati Qulubuhum.

Sehubungan dengan itu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegaskan bahawa mengikut agama Islam kutipan zakat hendaklah diagihkan kepada lapan golongan asnaf termasuk asnaf fakir miskin dan mualaf (saudara baharu) dari kalangan umat Islam sahaja.

Walaupun agama Islam adalah agama yang menekankan sifat sifat perikemanusiaan tetapi agihan zakat yang diperolehi daripada umat Islam hendaklah diberi kepada lapan golongan asnaf dari kalangan umat Islam terutama yang miskin dan memerlukan bantuan terlebih dahulu.
https://www.sinarharian.com.my/article/55559/EDISI/Selangor-KL/Sultan-Selangor-perjelas-isu-zakat

=============================😎====